29.11.10

A Time To Kill


"Hoi, bila nak anta kad?"
"Kad apa?"
"Kad kawen la..."
"Ntah, tak tau."
"Kau ni memilih sangat la."
"Masa kau kawen dulu kau tak memilih ke?"
"........."

Ohh, saya tak ada hak untuk memilihkah? Oleh sebab saya belum berkahwin pada usia 27 tahun maka saya dinafikan hak memilih pasangan hidup? Dan kerana mereka semua telah berkahwin awal dan memilih yang terbaik, maka yang lebih-lebih itu pun saya tidak boleh pilih?

Orang-orang yang berkahwin awal ini pun bukanlah lahir-lahir dari perut ibu terus bersuami/beristeri. Semua pun ada pengalaman menjadi single. Jadi kenapa berasa aneh atau pelik kalau ada orang yang masih belum berkahwin?

Bukankah ini semua berkaitan dengan masa? (dan jodoh). Tempoh mereka menjadi single itu pendek, dan tempoh saya masih single itu sedang berjalan. As simple as that. Ini rahsia Tuhan. Manalah saya tahu bila masanya saya akan berkahwin.

Banyak perhubungan saya dengan best-est buddies menjadi bitter bila tiba hal-hal berkahwin ini. Dan lewat perjumpaan pun mereka akan bercerita tentang motherhood, parenthood and how-busy-I-am-as-amother-and-someone'swife. As usual, I was left out. And abandoned.

Maka salahkah saya memilih untuk menjadi dingin dan bengis?

Saya frust bila seorang kawan berkata saya terlalu memilih. Bagaimana dia tahu saya terlalu memilih sedangkan persahabatan kami telah 'terputus' sejak dia berkahwin. Bagaimana dia menilai saya? Bagaimana dia boleh menuduh saya sebegitu sedangkan dia tidak tahu pun kehidupan yang saya lalui?

"Kalaulah aku tahu kawen ni best, dah lama aku kawen."

Yeah..right. Kalau kau tahu kahwin tu best for sure lepas UPSR kau merengek mintak nak kahwin kan? Atas sebab itulah Tuhan rahsiakan perancangannya untuk setiap manusia. Supaya semuanya akan berlaku ikut flow. Supaya manusia menikmati setiap level hidup puas-puas. Supaya bila manusia dah lepas satu level, mereka akan jadi manusia yang bersyukur.


Dan sekarang saya sedang menikmati level single saya puas-puas.


Saya pegang erat-erat janji Tuhan.

22.11.10

Terlalu Mengejar Masa / Terlalu Banyak Berfikir

Semalam aku berjalan di kota kecil menggalas beg merah dan berbekalkan air isotonic dalam botol transparens berwarna hijau. Aku tiada arah tujuan yang pasti melainkan berjanji mahu bertemu teman di tengah kota, di sebuah restoran mewah yang aku harapkan teman ku punya wang cukup untuk bayaran bilnya. Aku sampai 1 jam lebih awal untuk selesakan diri dengan keadaan… yang pasti si Mikani teman yang ditunggu tidak perlu menunggu aku, biar aku yang tunggu dia.

Aku keluarkan laptop berwarna silver dengan ukuran skrin 10 inci daripada beg dan diletakkan elok di atas meja; sambil memanggil salah seorang waiter untuk ambil pesanan awal untuk segarkan tekak. Aku cuba pilih seorang lelaki berbadan tegap berbaju-t hitam dengan tertulis perkataan RIP di bahagian dada baju. Brother tu angkat tangan bagi isyarat “5 seconds”. Aku tunggu.

Sementara menunggu, aku cuba perhati keadaan sekeliling, ramai orang-orang yang tampak jumlah pendapatan tahunan mereka melebih daripada wang simpanan yang aku kumpulkan 5 tahun. Di meja sebelah duduk 2 orang lelaki membuat kira-kira nombor sampai ke tahap billion ringgit sambil minum secawan besar beer dengan lambang harimau pada gelas. Kadang-kadang mereka gelak besar diselangi dengan hisapan curut kopi yang baunya memang sangat menggoda! Waiter dan Waitress di restoran Nampak steady dan tidak kelam kabut melayan pelanggan; tak ramai pun orang dalam restoran tu sebenarnya, tapi dah hampir 10 minit aku tunggu, satu mangkuk hayun pun takde datang amik pesanan appetizer aku! Aku bangun sedikit daripada kerusi dan lambai-lambai tangan ke arah seorang waiter yang sedang asyik menyusun cutlery di meja hadapan. Dia sedar dan terus ke arah aku sambil membawa sebuku menu. Aku tunggu.

Aku biarkan dia buka buku menu dan bertanya pesanan; Setelah belek buku menu secara lebih kurang, dan biarkan waiter tu tegak berdiri menunggu lebih kurang 2 minit, dengan slumber aku beri pesanan ringkas, “Sky juice with Nachos”. Dia angkat kening dan pastikan tiada pesanan lain yang tertinggal. Lepas kembalikan semula buku menu, waiter tu bergerak ke arah dapur restoran dan biarkan aku sendirian menunggu.

Lebih sejam aku duduk di situ dan habiskan sepinggan nachos dan bercawan-cawan skyjuice… Muka si Mikani masih tak muncul lagi. Bermacam-macam sumpah seranah aku dah tweet… berjela-jela comment keluar membalas. Bila tempoh menunggu hampir jadi 2 jam, aku mula jadi bengis, aku cuba hubungi Mikani setelah penat lama menunggu.

“Mik, kau kat mane ni? Dekat 2 jam aku tunggu”
“Tunggu mana? Eh mana kau sekarang?”
“Aku kat Estalia lah, kau kata nak jumpa sini?
“Babe we’re supposed to meet tomorrow, after wedding Hadrath, kau lupa ka?”
“#$%^, hari ni berapa hb?”
“Hari ni 20, esok baru 21… Duhhh”
“Demn Yuh! Aku lah kena bayar nachos 38 ringgit ni?”

Mikani gelak dan terus letak telefon sebelum pesan pada aku.
“Esok aku pick up kau, tunggu aku call”.


Cilake!

Guilty Pleasure


Sudah 5 tahun saya menunggu bas di perhentian bas yang sama. Banyak bas yang lalu dan singgah bertanya sama ada saya mahu ikut naik atau tidak. Saya geleng kepala, saya tolak dengan baik. Kadang-kadang saya berlagak sombong, pura-pura tak nampak dan biarkan bas-bas itu berlalu. Sebenarnya saya belum jumpa bas yang pergi ke destinasi yang sama.

5 tahun lepas, ada sebuah bas singgah dan pelawa saya pergi ke destinasi yang saya inginkan. Saya sempat berasa gembira dan bahagia. Tapi perjalanan itu singkat, saya turun dan bas pun berlalu pergi. Saya berharap bas itu akan membuat pusingan u-turn, dan datang menjemput saya kembali.

Malangnya, hari demi hari saya menunggu bas itu tak kunjung datang. Saya cuma nampak bayang-bayangnya. Saya kejar bayang-bayang itu tetapi angin berang lalu membawanya pergi. Saya menangis, menangis hingga tak ada setitis air mata pun yang menitis. Jemu menangis saya bangun dan kembali menunggu di perhentian.

Hari ini, saya disedarkan Tuhan bas yang saya tunggu-tunggu itu telah penuh. Saya sudah tidak ada peluang dan bas itu pun telah bersumpah setia dengan penumpangnya. Saya berasa amat kerdil di celah-celah lipatan rahsia Tuhan.

Saya rasa bersalah menzalimi diri sendiri. Meyakinkan hati bahawa saya tidak berharap tetapi hakikatnya saya memang berharap. Maka hari ini, Tuhan telah mengutus berita yang menyuruh saya membuka mata dan hati luas-luas.

Pandang hadapan dan berjalan ke perhentian yang lain.

21.11.10

Rasa Bersalah

Apa yang kita akan buat kalau kita lihat orang lain buat satu kesilapan yang besar? Benci, geram, dendam? Atau kita mengambil iktibar untuk tidak melakukan salah yang sama. Atau kita cukup "kuat" untuk menghukum dan membetulkan setiap kesilapan? Kita ada banyak hak, tapi sebesar mana hak itu mampu kita perjuangkan?

Bila kita bertanya, siapa kita untuk menasihat, adakah itu bermakna kita hampir mengaku kalah? Adakah kita tidak begitu berani untuk menegur? Atau cuma mengawal ego untuk bersikap open-minded dan berasakan zaman ini terlalu moden untuk berfikiran secara ortodoks?

Once upon a time, kita pernah terlanjur silap, dan mungkin cukup sekadar berkata sorry dan bersumpah tidak akan mengulangi setiap perkara yang kita rasakan paling bangsat?! Kita cuba lari dari masa yang dulu, tapi masa yang dulu itu terusan menghantui masa hadapan.

19.11.10

Pecah Ais

Dalam dunia ni ada dua kumpulan manusia. 1) kumpulan bekerja 2) kumpulan tidak bekerja. Aku dalam kumpulan pertama.

Dalam kumpulan bekerja ada dua jenis kumpulan manusia. 1) Bekerja sebagai bos 2) Bekerja sebagai kuli. Aku kumpulan yang kedua.

Dalam kehidupan bekerja sebagai kuli, bukan satu perkara yang boleh dipandang mudah. Biarpun tidak berkereta besar, berumah banglo dan berpejabat besar, tapi aku masih ke pejabat lengkap berpakaian dan berkasut segak bergaya. Kadang-kadang Nampak gaya seperti seorang entrepreneur, kadang-kadang nampak bergaya macam cikgu sekolah tadika, biasanya aku lebih gemar berpakaian seperti seorang jurujal berjaya cuma tanpa briefcase hitam dan tidak bertandang dari satu rumah ke rumah yang lain.

Bila kita jadi kuli, bukan mudah untuk kita berinteraksi dengan pihak atasan, apatah lagi apabila cuba berdiplomatik di hujung-hujung tahun dengan harapan mendapat habuan bonus yang sentiasa ditunggu-tunggu. Bila kita jadi kuli, kita umpama mendaki bukit yang makin tinggi, dan jatuh bergolek umpama nangka busuk. Kita takkan dipandang kalau kita tak pandai bersuara lebih dari yang dibuat, kita takkan diherankan kalau kerja setengah mati dan segala kesempatan tidak diambil peduli. Ini Malaysialah oi! Kalau kerja sampai mati, orang kata kita kumpul harta, kalau kerja sambil lewa orang kata kita makan duit haram!

Apa sebenarnya yang kita kejarkan setiap 8 jam sehari di pejabat? Kita bekerja dengan satu konsep, mahu dapatkan mata pencarian dan melangsaikan segala hutang. Tapi berapa ramai antara kita yang berfikir tentang konsep yang lain, kita bekerja sebab minat… Passion!? Berapa ramai antara kita yang terfikir kita bekerja dengan niat mahu membantu? Berapa ramai antara kita yang terdetik di dalam hati, kita bekerja sebab mahu sahut impian mak bapak kita?! Dan Berapa ramai antara kita yang bekerja untuk kepuasan diri sendiri? Dan berapa ramai yang terfikir kita bekerja sebab kita dah habis belajar, apa lagi nak buat kalau tak kerja?

Aku masih sebagai kuli for god sake! Tak usah berangan lah bila bekerja semata-mata nak jadi kaya!

Ice Breaking

Saya perempuan hamba kerajaan. Ya betul, hamba. Menurut Encik Google Translation, government servant itu hamba kerajaan. Maka saya harus percaya terjemahan ini betul kerana ini zaman Google. Saya hamba kerajaan yang (mungkin) paling pendek tempoh kerjanya. Tetapi tanggungjawab yang saya pikul lebih besar daripada seorang Perdana Menteri!

Kalau kamu seorang akauntan yang tersalah membuat kira-kira, mungkin kamu boleh sahaja betulkan angka yang salah pada bila-bila masa. Kalau kamu seorang kontraktor yang 'tercuai' membina stadium lalu runtuh, kamu mungkin akan di senaraihitamkan sahaja. Kalau kamu seorang pengundi lalu kamu tersilap memangkah kertas undi, kamu boleh sahaja betulkan pangkahan kamu 5 tahun akan datang. Kalau kamu seorang tukang masak, lalu kamu tersalah resipi, kamu boleh sahaja ubahsuai atau buang masakan kamu ke dalam tong sampah.

Tetapi perhambaan saya, umpama menyusun batu-bata untuk dibuat bangunan. Batu-bata itu perlu ditampal dengan kukuh supaya bangunan tak mudah retak atau runtuh. Jikalau saya menyusun senget, maka sengetlah bangunan saya. Jadi, tolong beritahu bagaimana saya boleh betulkan bangunan yang senget ini? Saya tidak boleh keluarkan satu persatu batu-bata lalu menyusun semula. Dan saya pun tidak boleh menambah, kecuali menghias dengan cantik supaya tak nampak kecacatannya. Bolehkah saya hidup bersenang hati melihat bangunan yang saya bina cantik di luar tetapi isinya hodoh? Lalu saya pun menunggu berharap ke akhir usia supaya bangunan ini cepat dilupakan, berganti dengan bangunan baharu lebih sempurna yang dibina oleh hamba yang lain.