19.11.10

Ice Breaking

Saya perempuan hamba kerajaan. Ya betul, hamba. Menurut Encik Google Translation, government servant itu hamba kerajaan. Maka saya harus percaya terjemahan ini betul kerana ini zaman Google. Saya hamba kerajaan yang (mungkin) paling pendek tempoh kerjanya. Tetapi tanggungjawab yang saya pikul lebih besar daripada seorang Perdana Menteri!

Kalau kamu seorang akauntan yang tersalah membuat kira-kira, mungkin kamu boleh sahaja betulkan angka yang salah pada bila-bila masa. Kalau kamu seorang kontraktor yang 'tercuai' membina stadium lalu runtuh, kamu mungkin akan di senaraihitamkan sahaja. Kalau kamu seorang pengundi lalu kamu tersilap memangkah kertas undi, kamu boleh sahaja betulkan pangkahan kamu 5 tahun akan datang. Kalau kamu seorang tukang masak, lalu kamu tersalah resipi, kamu boleh sahaja ubahsuai atau buang masakan kamu ke dalam tong sampah.

Tetapi perhambaan saya, umpama menyusun batu-bata untuk dibuat bangunan. Batu-bata itu perlu ditampal dengan kukuh supaya bangunan tak mudah retak atau runtuh. Jikalau saya menyusun senget, maka sengetlah bangunan saya. Jadi, tolong beritahu bagaimana saya boleh betulkan bangunan yang senget ini? Saya tidak boleh keluarkan satu persatu batu-bata lalu menyusun semula. Dan saya pun tidak boleh menambah, kecuali menghias dengan cantik supaya tak nampak kecacatannya. Bolehkah saya hidup bersenang hati melihat bangunan yang saya bina cantik di luar tetapi isinya hodoh? Lalu saya pun menunggu berharap ke akhir usia supaya bangunan ini cepat dilupakan, berganti dengan bangunan baharu lebih sempurna yang dibina oleh hamba yang lain.

No comments:

Post a Comment