Showing posts with label Cik-Gie. Show all posts
Showing posts with label Cik-Gie. Show all posts

1.1.11

Ikhlas ke?

Sorry, dcharmed. Off topic. Hutang 1 ;)

Bagaimana hendak menilai keikhlasan? Bukankah ikhlas itu sifatnya sangat peribadi, antara kita dengan tuhan sahaja yang benar-benar tahu hujung pangkalnya. Jadi mengapa banyak orang suka mempertikaikan keikhlasan orang lain?

Menilai keikhlasan itu bukannya boleh dibuat oleh sebarang orang. Telah diumpamakan bahawa mencari keikhlasan itu seperti mencari seekor semut hitam yang kecil diatas sebuah batu yang besar pada waktu malam yang gelap. Bukankah agak mustahil pencarian ini?

Saya panas hati ada orang serkap jarang keikhlasan orang lain apabila berlaku peristiwa yang buruk atau pun tidak elok.

"Mesti tak ikhlas masak ni, sebab tu tak sedap!"
"Mesti tak ikhlas belajar ni, sebab tu tak pandai!"
"Mesti tak ikhlas bercinta ni, sebab tu putus tengah jalan!"
"Mesti tak ikhlas mengajar ni, sebab tu budak-budak sekarang kurang ajar!"

Ohh, yang akhir sekali ni buat saya sentap habis.

Kalau kurang ajar, mesti salahkan cikgu tak cukup mengajar. Jarang sangat orang menyalahkan ibu bapa yang membesarkan anak itu. Kalau benar-benar mahu meletakkan kesalahan pada 'keikhlasan', maka silalah salahkan ibubapa yang membuat anak, mungkinkah salah seorang tidak ikhlas semasa proses itu berlaku? Atau pun salahkan doktor yang menyambut kelahiran anak, mungkinkah tidak ikhlas semasa menyambut kelahiran? Eh, alang-alang mahu mempersoalkan keikhlasan, bolehlah salahkan petani yang menanam padi, mungkinkah tidak ikhlas menanam padi lalu beras tidak ikhlas dimakan oleh anak-anak maka terhasillah generasi tidak ikhlas?


Nah, jadilah rantaian mengungkit keikhlasan yang tak berpenghujung. Umpama konflik telur ayam dan ayam.


Jadilah kita bangsa yang selamanya suka menyalahkan keikhlasan orang lain demi menutup kesilapan diri sendiri.

3.12.10

Essential Beauty


Bagaimana kita mentafsir kecantikan? Benarkah kecantikan itu patut dilihat dari dalam (hati)? Bagaimana nak melihat ke dalam hati? Bukankah kecantikan itu kita sendiri yang menilai? Saya berpendapat, cantik itu tak terletak pada mulut orang lain. Cantik itu kita sendiri yang merasa.

Saya teringat kisah 'kecantikan' di kawasan kejiranan rumah saya pada hari raya lalu. Seorang kakak beranak empat yang bertubuh chubby ditegur oleh makcik-makcik pada hari raya tahun lepas,

"Amboi...gemuknya sekarang..Senang hati sangat ke?"
"Hari tu balik tak gemuk macam ni.."

Dan semua pertanyaan makcik-makcik adalah berkisar kepada kegemukan kakak itu sahaja. Kakak itu pun tidaklah berapa gemuk pada pandangan mata saya. Gemuknya elok-elok sahaja dengan ketinggian dia yang macam model.

Mungkin kerana stress, dan mahu membuktikan dia tidak gemuk, maka hari raya tahun ini dia pulang dengan imej baharu. Imej tafsiran kecantikan bagi banyak orang di Malaysia; kurus keding!

"Eh, kurusnya..! Dulu lagi cantik."
"Kurus sangatlah..pipi nampak cengkung."

Saya nampak riak wajah hampa kakak beranak empat itu. Susah payah dia menguruskan badan dengan rejim kecantikan Jus 2 Alam, mulut makcik-makcik masih tak memuji cantik! Lemak-lemak yang membalut tubuhnya sebelum inilah yang sebenarnya cantik. Sekarang yang tinggal cuma isi dan tulang yang lagi ramai orang bercakap, nampak tualah!

Jadi sekarang dilema kakak itu sudah bertambah. Mahu kurus/gemuk? Atau mahu nampak tua? :)

Maka, benarlah cantik itu biar kita sendiri sahaja yang mentafsir. Cantik pada orang belum tentu lagi cantik pada mata kita. Cantik kita belum pasti lagi cantik pada mata orang. Kalau mahu dengar cakap orang jadilah kita tak cantik, tak berpendirian dan tak ada keyakinan diri.


Suka saya memetik kata-kata Plato; yang baik itulah cantik.

p/s:
Saya melihat banyak lambakan iklan membesarkan buah dada sejak akhir-akhir ini. Adakah sudah bertambah definisi kecantikan bagi perempuan Malaysia: 1. kurus keding 2. putih melepak 3. buah dada besar? :)





29.11.10

A Time To Kill


"Hoi, bila nak anta kad?"
"Kad apa?"
"Kad kawen la..."
"Ntah, tak tau."
"Kau ni memilih sangat la."
"Masa kau kawen dulu kau tak memilih ke?"
"........."

Ohh, saya tak ada hak untuk memilihkah? Oleh sebab saya belum berkahwin pada usia 27 tahun maka saya dinafikan hak memilih pasangan hidup? Dan kerana mereka semua telah berkahwin awal dan memilih yang terbaik, maka yang lebih-lebih itu pun saya tidak boleh pilih?

Orang-orang yang berkahwin awal ini pun bukanlah lahir-lahir dari perut ibu terus bersuami/beristeri. Semua pun ada pengalaman menjadi single. Jadi kenapa berasa aneh atau pelik kalau ada orang yang masih belum berkahwin?

Bukankah ini semua berkaitan dengan masa? (dan jodoh). Tempoh mereka menjadi single itu pendek, dan tempoh saya masih single itu sedang berjalan. As simple as that. Ini rahsia Tuhan. Manalah saya tahu bila masanya saya akan berkahwin.

Banyak perhubungan saya dengan best-est buddies menjadi bitter bila tiba hal-hal berkahwin ini. Dan lewat perjumpaan pun mereka akan bercerita tentang motherhood, parenthood and how-busy-I-am-as-amother-and-someone'swife. As usual, I was left out. And abandoned.

Maka salahkah saya memilih untuk menjadi dingin dan bengis?

Saya frust bila seorang kawan berkata saya terlalu memilih. Bagaimana dia tahu saya terlalu memilih sedangkan persahabatan kami telah 'terputus' sejak dia berkahwin. Bagaimana dia menilai saya? Bagaimana dia boleh menuduh saya sebegitu sedangkan dia tidak tahu pun kehidupan yang saya lalui?

"Kalaulah aku tahu kawen ni best, dah lama aku kawen."

Yeah..right. Kalau kau tahu kahwin tu best for sure lepas UPSR kau merengek mintak nak kahwin kan? Atas sebab itulah Tuhan rahsiakan perancangannya untuk setiap manusia. Supaya semuanya akan berlaku ikut flow. Supaya manusia menikmati setiap level hidup puas-puas. Supaya bila manusia dah lepas satu level, mereka akan jadi manusia yang bersyukur.


Dan sekarang saya sedang menikmati level single saya puas-puas.


Saya pegang erat-erat janji Tuhan.

22.11.10

Guilty Pleasure


Sudah 5 tahun saya menunggu bas di perhentian bas yang sama. Banyak bas yang lalu dan singgah bertanya sama ada saya mahu ikut naik atau tidak. Saya geleng kepala, saya tolak dengan baik. Kadang-kadang saya berlagak sombong, pura-pura tak nampak dan biarkan bas-bas itu berlalu. Sebenarnya saya belum jumpa bas yang pergi ke destinasi yang sama.

5 tahun lepas, ada sebuah bas singgah dan pelawa saya pergi ke destinasi yang saya inginkan. Saya sempat berasa gembira dan bahagia. Tapi perjalanan itu singkat, saya turun dan bas pun berlalu pergi. Saya berharap bas itu akan membuat pusingan u-turn, dan datang menjemput saya kembali.

Malangnya, hari demi hari saya menunggu bas itu tak kunjung datang. Saya cuma nampak bayang-bayangnya. Saya kejar bayang-bayang itu tetapi angin berang lalu membawanya pergi. Saya menangis, menangis hingga tak ada setitis air mata pun yang menitis. Jemu menangis saya bangun dan kembali menunggu di perhentian.

Hari ini, saya disedarkan Tuhan bas yang saya tunggu-tunggu itu telah penuh. Saya sudah tidak ada peluang dan bas itu pun telah bersumpah setia dengan penumpangnya. Saya berasa amat kerdil di celah-celah lipatan rahsia Tuhan.

Saya rasa bersalah menzalimi diri sendiri. Meyakinkan hati bahawa saya tidak berharap tetapi hakikatnya saya memang berharap. Maka hari ini, Tuhan telah mengutus berita yang menyuruh saya membuka mata dan hati luas-luas.

Pandang hadapan dan berjalan ke perhentian yang lain.

19.11.10

Ice Breaking

Saya perempuan hamba kerajaan. Ya betul, hamba. Menurut Encik Google Translation, government servant itu hamba kerajaan. Maka saya harus percaya terjemahan ini betul kerana ini zaman Google. Saya hamba kerajaan yang (mungkin) paling pendek tempoh kerjanya. Tetapi tanggungjawab yang saya pikul lebih besar daripada seorang Perdana Menteri!

Kalau kamu seorang akauntan yang tersalah membuat kira-kira, mungkin kamu boleh sahaja betulkan angka yang salah pada bila-bila masa. Kalau kamu seorang kontraktor yang 'tercuai' membina stadium lalu runtuh, kamu mungkin akan di senaraihitamkan sahaja. Kalau kamu seorang pengundi lalu kamu tersilap memangkah kertas undi, kamu boleh sahaja betulkan pangkahan kamu 5 tahun akan datang. Kalau kamu seorang tukang masak, lalu kamu tersalah resipi, kamu boleh sahaja ubahsuai atau buang masakan kamu ke dalam tong sampah.

Tetapi perhambaan saya, umpama menyusun batu-bata untuk dibuat bangunan. Batu-bata itu perlu ditampal dengan kukuh supaya bangunan tak mudah retak atau runtuh. Jikalau saya menyusun senget, maka sengetlah bangunan saya. Jadi, tolong beritahu bagaimana saya boleh betulkan bangunan yang senget ini? Saya tidak boleh keluarkan satu persatu batu-bata lalu menyusun semula. Dan saya pun tidak boleh menambah, kecuali menghias dengan cantik supaya tak nampak kecacatannya. Bolehkah saya hidup bersenang hati melihat bangunan yang saya bina cantik di luar tetapi isinya hodoh? Lalu saya pun menunggu berharap ke akhir usia supaya bangunan ini cepat dilupakan, berganti dengan bangunan baharu lebih sempurna yang dibina oleh hamba yang lain.