22.11.10

Guilty Pleasure


Sudah 5 tahun saya menunggu bas di perhentian bas yang sama. Banyak bas yang lalu dan singgah bertanya sama ada saya mahu ikut naik atau tidak. Saya geleng kepala, saya tolak dengan baik. Kadang-kadang saya berlagak sombong, pura-pura tak nampak dan biarkan bas-bas itu berlalu. Sebenarnya saya belum jumpa bas yang pergi ke destinasi yang sama.

5 tahun lepas, ada sebuah bas singgah dan pelawa saya pergi ke destinasi yang saya inginkan. Saya sempat berasa gembira dan bahagia. Tapi perjalanan itu singkat, saya turun dan bas pun berlalu pergi. Saya berharap bas itu akan membuat pusingan u-turn, dan datang menjemput saya kembali.

Malangnya, hari demi hari saya menunggu bas itu tak kunjung datang. Saya cuma nampak bayang-bayangnya. Saya kejar bayang-bayang itu tetapi angin berang lalu membawanya pergi. Saya menangis, menangis hingga tak ada setitis air mata pun yang menitis. Jemu menangis saya bangun dan kembali menunggu di perhentian.

Hari ini, saya disedarkan Tuhan bas yang saya tunggu-tunggu itu telah penuh. Saya sudah tidak ada peluang dan bas itu pun telah bersumpah setia dengan penumpangnya. Saya berasa amat kerdil di celah-celah lipatan rahsia Tuhan.

Saya rasa bersalah menzalimi diri sendiri. Meyakinkan hati bahawa saya tidak berharap tetapi hakikatnya saya memang berharap. Maka hari ini, Tuhan telah mengutus berita yang menyuruh saya membuka mata dan hati luas-luas.

Pandang hadapan dan berjalan ke perhentian yang lain.

No comments:

Post a Comment